Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau cadangan tapak dan pembangunan penempatan pelajar Selangor di Kaherah, Mesir dalam lawatannya pada 8 Oktober 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tubuh tabung amanah RM5 juta bangunkan asrama siswa di Mesir

SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor mengumumkan penubuhan Tabung Amanah Pembangunan dan Pengurusan Pelajar Timur Tengah bagi membangunkan asrama mahasiswa yang melanjutkan pengajian di Mesir.

Sebagai permulaan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM5 juta disuntik ke tabung berkenaan untuk membeli Rumah Selangor Kedua bagi tujuan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri akan memulakan suntikan dana sebanyak RM5 juta yang akan diperuntukkan ke dalam tabung amanah ini bagi tujuan wakaf sebagai dana permulaan.

“Usaha membudayakan wakaf ini akan diteruskan dan fokus akan ditambah dengan usaha-usaha mengembangkan harta wakaf,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Katanya, negeri bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Perbadanan Wakaf Selangor dan Lembaga Zakat Selangor juga terus berusaha meningkatkan pelaburan wakaf dalam pembangunan aset.

Menurut Amirudin, usaha itu bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar pengurusan waqaf diperkasakan di negeri berkenaan.

Sementara itu, sebanyak RM200,000 disalurkan untuk membaik pulih bangunan Asrama Selangor di Mesir yang digunakan sejak 1992 demi kebajikan 156 pelajar yang menginap di situ.

Dalam lawatan kerja ke Mesir bulan lalu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersama Jais dan agensi lain meneliti syor membangunkan asrama siswa Selangor yang menyambung pengajian di sana.


Pengarang :