EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim (duduk, tengah) hadir ke program sesi taklimat yang disertai lebih 1,000 pengusaha dan pemilik kilang di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam pada 6 November 2023. Foto Ihsan Pejabat EXCO
EXCOSELANGOR

Sesi taklimat Kerajaan Negeri, pemilik kilang kongsi cadangan, selesai masalah

SHAH ALAM, 6 NOV: Lebih 1,000 pengusaha dan pemilik kilang tanpa kebenaran hadir ke program sesi taklimat (Town Hall) di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan berkata program julung kali diadakan itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada individu terbabit berkongsi cadangan dan luahan bersama agensi berkaitan.

“Selain memberi peluang kepada pengusaha dan pemilik kilang untuk mendapatkan pencerahan daripada agensi teknikal, pihak Kerajaan Negeri juga ingin mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Oleh itu, saya sebagai EXCO yang diberi tugas dan amanah untuk menyelesaikan masalah kilang tanpa kebenaran ini mengambil inisiatif menganjurkan Town Hall buat julung kalinya.

Lebih 1,000 pengusaha dan pemilik kilang hadir dalam program sesi taklimat di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam pada 6 November 2023. Foto Ihsan Pejabat EXCO

“Saya sedia mendengar pandangan, cadangan, keluhan semua permasalahan mengenai proses yang dibangkitkan sehingga menyebabkan perancangan pemutihan ini tidak berjaya,” kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program Town Hall antara EXCO Kerajaan Tempatan bersama pemilik dan pengusaha kilang tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Suee Lim turut memuji kehadiran ribuan pengusaha dan pemilik kilang tanpa kebenaran di Shah Alam yang menyambut baik program seumpama itu pada hari ini.

“Saya yakin berkat pertemuan dua hala ini, Kerajaan Negeri dapat merangka satu pelan tindakan penyelesaian yang lebih dinamik dan holistik. Apabila wujudnya dasar baharu ini, saya berharap semua pengusaha atau pemilik kilang dapat berikan kerjasama sebaiknya.

“Saya juga minta pihak berkuasa tempatan dapat membantu supaya bilangan kilang tanpa kebenaran dapat diputihkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Program sama pada hari ini juga akan dianjurkan di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam masa terdekat bagi memastikan usaha memutihkan kilang tanpa kebenaran dapat dilakukan segera.


Pengarang :