Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Setahun dilancar, RS-1 catat komitmen pelaburan RM29.1 bilion

SHAH ALAM, 15 NOV: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilancar tahun lalu bagi merangka pembangunan negeri menerima komitmen pelaburan RM29.1 bilion setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu melibatkan beberapa projek mega antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Gerbang Maritim Selangor (SMG) serta projek bernilai tinggi.

“Kalau saya ringkaskan sebahagian daripadanya sektor pembuatan iaitu Taman Industri Pintar (NCT) di IDRISS. Ada juga sektor perkhidmatan seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau atau pusat data di Petaling Jaya dengan nilai RM3 bilion.

“Projek pertanian di SABDA libatkan lebih RM60 juta. Ini adalah sektor tumpuan yang ada dalam tawaran setakat ini. Taman aero belum ada komitmen sebab kita sedang bincang hal tanah,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Gombak Setia Hilman Idham, Amirudin berkata RS-1 merupakan inisiatif negeri bagi menggerak dan mengembangkan ekonomi melalui 262 projek spesifik.

“Semua projek mempunyai fungsi ekonomi serta mencapai keseimbangan infrastruktur dengan pengukuhan sosioekonomi rakyat yang berpegang kepada tekad pembangunan mampan,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Amirudin buat membentang RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Beliau berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelasnya, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :