Orang ramai memenuhi ruang pameran kapal terbang ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SIBS, SAS angkat nama Selangor destinasi pelaburan, bawa pulangan besar

SHAH ALAM, 16 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS) berjaya mengangkat nama negeri ini sebagai destinasi tumpuan pelabur antarabangsa.

Wakil rakyat Balakong Ong Chun Wei berkata penganjuran kedua-dua program itu dianggap sebagai pelaburan berimpak besar oleh Kerajaan Selangor untuk merancakkan ekonomi sekali gus membawa pulangan besar.

“SIBS dan SAS menjadi kebanggaan kepada negeri dan berjaya membawa nama Selangor ke peringkat antarabangsa serta merancakkan ekonomi negeri.

“Buktinya SIBS 2023 telah mencatatkan potensi transaksi sebanyak RM4.9 bilion melalui 32 perjanjian persefahaman manakala SAS pula merekodkan 28 perjanjian persefahaman dengan nilai RM823 juta telah dimeterai.

“Peruntukan kepada kedua-dua program ini bukan setakat perbelanjaan tetapi satu pelaburan berimpak besar yang akan membawa pulang hasil kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai adalah langkah tepat aoabila berjaya menyelesaikan 101 projek rumah.

“Memiliki rumah sendiri merupakan impian bagi kebanyakan individu yang sekali gus bakal menjadi komitmen kewangan terbesar bagi sesebuah keluarga. Namun, di sebalik keindahan ini, ramai juga yang kecewa apabila projek pembinaannya terbengkalai.

“Isu ini menghimpit nasib pembeli apabila pembeli terbabit ini masih terpaksa membayar ansuran pinjaman bank, malahan terpaksa menyewa pula di tempat lain.

“Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai satu inisiatif yang baik apabila sebanyak 101 projek telah diselesaikan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 melibatkan peruntukan RM2.53 bilion dengan RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.2 bilion bagi pembangunan.


Pengarang :