Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan di akhir kes pembelaan atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda pada 9 November 2023. Beliau turut ditemani ibu dan bapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun, dua sebatan, denda RM10 juta

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.

Hakim Azhar memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan kesalahan salah guna harta berjalan berasingan manakala hukuman pertuduhan pengubahan wang haram berjalan serentak.

Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini namun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan itu difailkan di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” kata hakim.

Sebelum ini, bekas Ketua Armada itu dibenarkan diikat jamin RM330,000 bagi kesemua pertuduhan serta diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran, sebulan sekali.

Semasa mensabitkan Syed Saddiq atas semua pertuduhan itu, Hakim Azhar berkata mahkamah telah memberikan pertimbangan pada tahap maksimum terhadap keseluruhan keterangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang setelah mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri yang memberi keterangan bersumpah dan empat saksi pembelaan.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, mewakili Syed Saddiq memohon agar mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

“Pihak kami memohon supaya mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali membantah permohonan itu atas alasan tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan.

Terdahulu, dalam rayuan bagi hukuman ringan, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Haijan Omar, berkata anak guamnya akur dengan keputusan mahkamah yang mendapatinya bersalah dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum.

“Anak guam saya belum berkahwin merupakan anak bongsu dari empat beradik dan perlu juga menjaga ibu dan bapanya, masing-masing berusia 62 dan 66 tahun yang juga pesara kerajaan.

“Ibu bapa tertuduh turut hadir ke mahkamah hari ini. Bapanya baru sahaja menjalani pembedahan katarak manakala ibunya menghidap kanser payudara,” katanya.

Peguam itu berkata mahkamah juga perlu mempertimbangkan jasa anak guamnya yang sebelum ini merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan pada 2018 hingga 2020.

“Ketika beliau dilantik menjadi menteri, beliau dikenali di persada antarabangsa sebagai seorang menteri yang paling muda di Asia. Semasa berkhidmat, beliau diberi tugas untuk mengetuai pindaan Perlembagaan bersejarah di negara iaitu Undi18, yang membuka jalan kepada lebih tiga juta pemuda dan pemudi untuk mengundi bermula dari Pilihan Raya Umum ke-15.

“Antara sumbangan penting beliau ialah menaikkan elaun ‘internship’ (latihan amali) dari RM300 ke RM900 selain melonjak nama Malaysia dalam bidang e-sport. Sebagai Ahli Parlimen Muar, beliau juga telah melancarkan beberapa usaha untuk mendapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepada beribu-ribu pelajar tidak berkemampuan di kawasan Parlimennya.

“Tertuduh juga tidak mempunyai rekod lampau dan saya dengan rendah diri mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara atau denda sahaja,” kata peguam itu.

Gobind pula memohon mahkamah mempertimbangkan pembelaan tertuduh dan keterangan saksi pembelaan yang menunjukkan wang dalam kes anak guamnya itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik Covid-19 dan juga kebajikan lain.

“Keterangan saksi pembelaan menunjukkan tertuduh tidak menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan secara berasingan.

“Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, pendakwaan mencadangkan denda RM2 juta dengan tiga hingga lima sebatan, salah guna harta denda maksimum RM500,00 dengan lima sebatan manakala dua kesalahan pengubahan wang haram, masing-masing didenda RM2 juta,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam kerana banyak kes membabitkan ahli politik yang dituduh di mahkamah dan masyarakat mahu hukuman berbentuk pencegahan dijatuhkan kepada pesalah.

“Tidak kira seseorang itu berumur 30 atau 50 tahun, namun jika diberi amanah jangan khianatinya. Oleh itu, mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pencegahan agar ahli Parlimen lain yang ingin melakukan kesalahan sebegini akan berfikir dua tiga kali.

“Tertuduh juga tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan wang yang ada dalam akaun (Armada),” katanya.

Pasukan pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Mohd Shahrom Idris manakala peguam Datuk S.Ambiga dan Lim Wei Jiet juga mewakili Syed Saddiq.

– BERNAMA


Pengarang :