Khidmat ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. Foto Facebook ECRL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tawaran Rumah Selangorku kepada pemilik kediaman terlibat laluan ECRL

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menawarkan pembelian Rumah Selangorku atau Rumah Idaman kepada pemilik kediaman yang terlibat dengan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagaimanapun, EXCO Mobiliti Ng Sze Han menjelaskan tawaran tersebut tertakluk persetujuan pemilik dengan urusan pembelian dibantu Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

“Selain bayaran pampasan kepada pemilik mengikut ‘award’ pentadbir tanah, dicadangkan juga penawaran pembelian Rumah Selangorku dan Rumah Idaman sekiranya bersetuju.

“Pemaju Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan kerjasama pejabat daerah dan tanah serta LPHS akan membantu dalam urusan pembelian,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 22 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sze Han berkata pembinaan laluan ECRL di negeri ini terbahagi kepada tiga seksyen iaitu Seksyen 7 melibatkan sebahagian terowong Genting dalam Selangor sepanjang 6.8km.

Turut terlibat, jelasnya, Seksyen 8 dari Gombak ke Serendah sepanjang 35.9km dan Seksyen 9 dari Serendah ke Pelabuhan Klang membabitkan laluan sepanjang 48.7km.

Menurutnya, tiga stesen akan dibina di Seksyen 9 iaitu Puncak Alam, Kapar dan Jalan Kastam, Klang dengan jajaran melalui antaranya Bandar Baru Sungai Buaya, Saujana Rawang dan Batu Arang.

Tren penumpang ECRL yang bergerak pada kelajuan maksimum 160km/j bakal beroperasi pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak, Selangor.

MRL selaku pemilik projek memaklumkan infrastruktur rel termasuk kerja-kerja asas, landasan, dan sistem isyarat yang dibangunkan khusus berdasarkan reka bentuk kurang 200km/j.


Pengarang :