Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga sekeluarga cemas, kereta dipijak kumpulan gajah

IPOH, 27 NOV: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki dipijak sekumpulan gajah di KM55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebelum Hentian Titiwangsa, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata ketika kejadian 7.35 malam itu, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 48 tahun dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Jertih, Terengganu.

“Apabila sampai di lokasi yang berselekoh ke kiri, tiba-tiba pemandu ternampak sekumpulan enam ekor gajah berada di lorong menghala Jeli dan kemudian terlanggar seekor anak gajah.

“Selepas itu, kumpulan gajah berkenaan menghampiri lalu memijak kereta terbabit namun setelah anak gajah yang dilanggar bangun, kumpulan gajah beredar dalam keadaan hujan renyai-renyai dan berkabus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kejadian itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang manakala pemandu dan isterinya berusia 47 tahun serta anak mereka 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika memandu melalui kawasan tersebut kerana kemungkinan bertemu kumpulan gajah.

– BERNAMA


Pengarang :