Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Tujuh sekolah antarabangsa di Selangor terima ancaman bom palsu

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Polis mengesahkan menerima laporan berkenaan sembilan sekolah antarabangsa, masing-masing dua di Kuala Lumpur dan tujuh di Selangor menerima ancaman bom menerusi e-mel pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tujuh sekolah di Selangor itu melibatkan daerah Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Langat.

“Hasil siasatan di tempat kejadian sehingga 1 tengah hari tadi, tidak menemui sebarang bom di dalam sekolah-sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya e-mel itu adalah maklumat palsu yang hanya bertujuan menimbulkan kegusaran pihak sekolah dan ibu bapa.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata Unit Pemusnah Bom sedang menjalankan tugasan flushing di dua sekolah antarabangsa di Wangsa Maju yang menerima ancaman bom hari ini.

Terdahulu tular mesej di laman sosial mengenai ancaman bom menerusi e-mel tanpa nama yang diterima beberapa sekolah antarabangsa antara pukul 10 dan 11 pagi tadi.

Sementara itu di Pulau Pinang, polis mengesahkan dua sekolah antarabangsa di daerah Timur Laut menerima ancaman bom melalui e-mel hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V Saravanan berkata pihaknya menerima laporan polis masing-masing dari sekolah antarabangsa di Jalan Sungai Pinang dan Tanjung Tokong itu pada 11.20 pagi dan 12.26 tengah hari.

“Kedua-dua sekolah menerima kandungan dan penghantar e-mel yang sama hari ini bertajuk “bahan letupan telah ditanam di sekolah” serta kandungan e-mel menceritakan penghantarnya mengalami masalah hidup, dibenci oleh orang sekeliling, ayah merogolnya sejak kecil dan dihina di sekolah.

“Pasukan Unit Pencegahan Bom Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Unit Anjing Pengesan (Unit K9) polis membuat pemeriksaan di dua sekolah dan mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan. Pasukan bomba juga berada di kedua-dua lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Katanya pihak polis membuat permohonan semakan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengenal pasti butiran pemilik e-mel berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :