Eksekutif Bahagian Kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Muhammad Zubair Azizan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir Kampung Bangi Lama, yang diterima wakilnya di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, Hulu Langat pada 6 November 2023. Foto Facebook Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide serah bantuan tunai, kelengkapan harian kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 8 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan bantuan kepada 20 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Bangi Lama, Hulu Langat Isnin lalu.

Agensi itu memaklumkan sumbangan wang tunai kecemasan dan Pek Kasih Yide diserahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi.

“Hujan lebat yang berterusan ditambah faktor tanah rendah di kawasan itu menjadi punca sering kali rumah penduduk ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh.

“Sumbangan tunai kecemasan dan Pek Kasih Yide yang mengandungi kelengkapan kegunaan harian diserahkan kepada semua mangsa terlibat,” katanya menerusi Facebook.

Sumbangan disampaikan Eksekutif Bahagian Kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan yang turut sama meninjau keadaan mangsa di pusat penempatan sementara tersebut.

Yide turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan infaq dan mempelawa lebih ramai terus menyumbang menerusi pautan berikut: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/

Yide merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim dan bantuan musibah kepada masyarakat Islam di Selangor.


Pengarang :