Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan dalam Majlis Konvokesyen Putra Business School 2023 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 4 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Alumni Putra Business School diseru manfaat kepakaran bantu komuniti niaga

SERDANG, 4 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menyeru alumni Putra Business School (PBS) memanfaatkan kepakaran bidang pengurusan dan perniagaan kepada pembangunan masyarakat terutama komuniti perniagaan.

Tengku Amir Shah bertitah ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki graduan sepanjang pengajian serta pengalaman dalam industri mampu memacu perubahan positif dalam ekosistem perniagaan dan masyarakat.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan titah dalam Majlis Konvokesyen Putra Business School 2023 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 4 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Beta yakin sekolah perniagaan ini membina legasi cemerlang graduannya yang bakal memberi dampak bermakna dalam dunia pendidikan perniagaan,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen PBS 2023 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Baginda yang juga Canselor PBS bertitah bahawa disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran strategik serta semangat tinggi adalah perkara asas untuk mencapai kecemerlangan.

“Melalui pengalaman dalam ketenteraan dan pelbagai sukan (serta) peranan Beta (selaku Presiden) dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Komuniti Belia Selangor memberi pemahaman mendalam mengenai (hal ini).

“Kepentingan pembangunan belia, penglibatan komuniti dan kelestarian alam sekitar adalah prinsip penting untuk kelangsungan (ekosistem) perniagaan hari ini,” titah Baginda.

Penerima Anugerah Presiden Muhammad Amin Jailani. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, penerima Anugerah Presiden Program Coursework Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) (Tadbir Urus Korporat) menyarankan pemilik perniagaan serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) melanjutkan pelajaran mereka di PBS.

“Ini kerana PBS seimbang antara teori dan amali walaupun kebanyakan di sini sudah mempunyai perniagaan sendiri, pendidikan di sini mengajar kita bahawa tanpa tadbir urus yang betul sesuatu perniagaan itu masih belum lengkap,” kata Muhammad Amin Jailani.

Muhammad Amin antara 162 graduan PBS yang menerima ijazah masing-masing sempena majlis penuh istiadat itu yang disempurnakan Tengku Amir selaku Canselor.

PBS merupakan institusi sekolah perniagaan milik penuh UPM yang mengendali dan menawarkan kursus dan program pascasiswazah dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

Graduan ceria dalam Majlis Konvokesyen Putra Business School 2023 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 4 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :