EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bersama Pengarah Arkib Negara Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Yang Dipertua MPSepang Dato’ Abdul Hamid Husain melawat pameran selepas majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’ di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Arkib Negara imbau industri bijih timah, rakam sejarah untuk generasi mendatang

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Arkib Negara Malaysia mengimbau nostalgia kegemilangan industri perlombongan bijih timah di Kapal Korek Sri Banting, Pekan Dengkil yang dibina 49 tahun lalu.

Tayangan pengkisahan kapal korek seberat 5,000 tan yang menghentikan operasi pada 2001 susulan kejatuhan harga bijih timah, disaksikan lebih 100 penonton di Auditorium PPAV di sini hari ini.

Pengarahnya berkata program bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi mendokumentasi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran berkait perkembangan sejarah kapal terbabit dalam perlombongan bijih timah.

“Ia salah satu usaha untuk mengumpul, merakam dan memelihara maklumat sejarah negara amnya dan pendidikan negara khasnya. Bahan rakaman ini dibuka untuk rujukan generasi kini serta akan datang.

“Diharap usaha ini membantu Arkib Negara meneruskan kesinambungan pengumpulan bahan arkib dalam industri perlombongan agar ia kekal relevan,” kata Dato’ Jaafar Sidek Abd Rahman.

Hadir sama pada program Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah dan Yang Dipertua MPSepang Dato’ Abd Hamid Husain.

Program itu turut menampilkan tokoh pengkisahan yang juga mantan pekerja dalam industri perlombongan iaitu Dato’ Paiman Keromo, Lokman Ahmad, Mohamed Zakaria dan Basri Ibrahim.

Jaafar berkata kegemilangan jentera itu harus dikembalikan dan dipertonton kepada generasi masa kini supaya mereka sedar industri perlombongan bijih timah negara berkembang pesat pada 1883.

“Perkembangan kegiatan perlombongan ketika itu memberi pelbagai impak terhadap sosioekonomi penduduk di Tanah Melayu,” katanya lagi.

Direka firma F.W. Pynes & Son, Kapal Korek Sri Banting satu-satunya kapal korek yang masih wujud di Selangor selain Kapal Korek Tanjung Tualang 5, Batu Gajah, Perak.

Tinggalan struktur kapal korek terbabit antara kapal korek yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.

Berukuran 86 meter panjang dan 22 hingga 29.3 meter lebar, ia mampu bergerak menggunakan elektrik 110 ‘bucket’ yang boleh menggerudi sedalam 30 meter ke dalam tanah.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bersama Pengarah Arkib Negara Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Yang Dipertua MPSepang Dato’ Abdul Hamid Husain melawat pameran selepas majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’ di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pengarang :