Pasukan Bomba daripada BBP Pasir Puteh menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir yang melibatkan 7 keluarga di sekitar Kampung Tok Kundor, Pasir Puteh, Kelantan. Kesemua mangsa seramai 15 orang selamat dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Wakaf Raja. Foto facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Banjir di Terengganu pulih, jumlah mangsa meningkat di Kelantan

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Situasi banjir di Terengganu pada pagi ini pulih sepenuhnya apabila semua mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, manakala jumlah mangsa terus meningkat di Kelantan.

Di Terengganu, PPS yang terakhir beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu ditutup pada 8 malam semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), tiga mangsa daripada satu keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman mereka selepas banjir surut.

Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu pada 20 Nov lepas telah mengakibatkan seramai 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga dipindahkan ke 32 PPS di tujuh daerah negeri ini.

Daerah terlibat termasuk Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Setiu, Marang, Kemaman dan Dungun.

Di Kelantan, jumlah mangsa meningkat kepada 816 orang daripada 241 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 795 orang daripada 235 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) empat PPS masih beroperasi melibatkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok.

Di Kota Bharu, 192 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di SK Sering manakala SK Gual To’Deh di Pasir Mas menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga.

Sementara itu, seramai 116 mangsa daripada 33 keluarga berada di SK Jelawat dan 282 mangsa daripada 74 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor di jajahan Bachok.

-BERNAMA


Pengarang :