EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi menyampaikan anugerah ilustrasi Yusof Gajah ketika Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSJ) pada 10 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dua program di pesta buku Selangor terus dapat sambutan

SHAH ALAM, 11 DIS: Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah yang diperkenal di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) tahun lalu terus mendapat sambutan apabila menerima 348 penyertaan kali ini.

EXCO Pemberdayaan Usahawan Mohd Najwan Halimi berkata turut mendapat sambutan adalah program Selangor Fellowship Antarabangsa yang kini membabitkan tujuh negara berbanding empat negara sebelum ini.

“Saya amat gembira apabila dimaklumkan Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah menerima sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan 348 ilustrasi oleh 116 peserta.

“Terdapat 27 pemenang yang dipilih dan ini adalah pencapaian yang hebat sekali gus merupakan pengiktirafan kepada bakat dan kreativiti dalam bidang ilustrasi.

“Begitu juga dengan program fellowship, tujuh negara terlibat berbanding empat sebelum ini. Kita yakin Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan menambah baik pelaksanaan dengan menambah lagi beberapa negara bagi mempergiat terjemahan karya-karya berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup SIBF di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam yang turut dihadiri Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad.

Suasana pengunjung yang hadir ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada SIBF tahun lalu, PPAS memperkenal program Selangor Fellowship Antarabangsa dan Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Sejak dianjurkan pada 2006, pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir 5 juta pengunjung.


Pengarang :