Foto Facebook MetMalaysia
AGENDANASIONAL

Hujan berterusan tahap waspada diramal di Pahang, Johor hingga esok

SHAH ALAM, 27 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah sekitar Pahang dan Johor sehingga esok.

Dalam kenyataannya, agensi itu meramalkan hujan di Pahang melibatkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam di sesuatu kawasan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Pahang dan Sabah terus meningkat pagi ini, manakala jumlah mangsa di Terengganu menurun sedikit, sementara di Johor tidak berubah.

Di Pahang, Kuantan menjadi lokasi terbaru dilanda banjir awal pagi ini, sekali gus menyaksikan jumlah mangsa banjir kembali meningkat di negeri itu kepada 398 individu daripada 101 keluarga.

Manakala di Johor, jumlah mangsa banjir di Kampung Orang Asli Peta, Mersing kekal 83 orang daripada 25 keluarga, setakat jam 8 pagi tadi.

Pada 15 Disember lalu, MetMalaysia meramalkan luruan monsun berlaku di selatan semenanjung dan utara Sabah, yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.


Pengarang :