Foto Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
AGENDANASIONAL

Hujan lebat diramal di Kuala Selangor, Petaling hingga 5 petang

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 28 DIS: Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda enam daerah di Selangor sehingga 5 petang ini, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut agensi itu di Facebook rasminya, daerah berkenaan meliputi Sabak Bernam, Kuala Selangor, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Cuaca sama turut dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya dan beberapa daerah di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :