Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Imigresen nafi berlaku kesesakan di lapangan terbang seperti tular rakaman video

PUTRAJAYA, 24 DIS: Jabatan Imigresen menafikan berlaku kesesakan di lapangan terbang antarabangsa di negara ini akibat dibanjiri pelancong warga China.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata rakaman video tular mendakwa berlaku kesesakan di lapangan terbang itu sebenarnya adalah video lama yang dirakam tahun lalu di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru ketika pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat Covid-19 ditamatkan.

“Video itu dirakam ketika pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Jabatan Imigresen juga menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari biasa dan meningkat sekali ganda pada musim perayaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :