Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Kampung Kebun Bunga, Shah Alam pada 24 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung puas hati, harap negeri teruskan subsidi jualan barangan asas

SHAH ALAM, 24 DIS : Pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) berharap program tersebut diteruskan tahun depan dan dianjur secara kerap terutama di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seorang peniaga Muhammad Nur Islam Muhammad Shah, 35, berkata Kerajaan Negeri perlu meneruskan pemberian subsidi untuk program jualan murah kerana manfaatnya lebih menyeluruh kepada seisi keluarga.

“Hari ini saya membeli dua ekor ayam, dua peket ikan, dua kampit beras, empat papan telur dan sebotol minyak masak dengan harga semuanya hanya RM123. Memang banyak penjimatan berbelanja di sini.

Muhammad Nur Islam Muhammad Shah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya tinggal enam orang satu rumah bersama ibu mentua yang juga mengasuh beberapa orang kanak-kanak. Jadi barangan dibeli hari ini amat menjimatkan kerana ibu saya turut masak makanan kepada anak asuhan.

“Bagi saya inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan subsidi ini amat bagus berbanding memberi wang secara terus kepada rakyat. Sebab ada segelintir individu habiskan duit beli baranganan tidak berfaedah,” katanya ketika ditemui di JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Kebun Bunga di sini, hari ini.

Bagi Wan Rohaslina Wan Abdullah, 37, JER menjimatkan perbelanjaan bulanan barangan dapur dan berharap program tersebut dianjurkan lebih kerap tahun depan.

Wan Rohaslina Wan Abdullah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hari ini saya belanja tidak sampai RM100 beli ayam, beras dan telur serta beberapa barangan kering lain. Di rumah tinggal lapan beranak termasuk suami. Insya-Allah, bekalan ini cukup untuk keperluan keluarga sekurang-kurangnya seminggu

“Cuma saya cadangkan kepada penganjur supaya dapat menambah lagi kuantiti ayam segar kepada pengunjung pada JER akan datang,” kata suri rumah itu.

Selain itu, kakitangan swasta Alias Md Yasin, 58, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan keperluan rakyat selain berharap program diteruskan.

Alias Md Yasin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya kerap juga pergi JER terutamanya apabila ia dianjurkan berhampiran rumah. Alhamdulillah, hari ini boleh beli lebih kerana orang tidak ramai seperti sebelum ini,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Pengarang :