Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kassim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Rahana Abdullah melakukan simbolik pelancaran penjenamaan identiti korporat KHSB di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jadikan Selangor berdaya huni, wujudkan lebih banyak rumah mampu milik

SHAH ALAM, 8 DIS: Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) perlu berperanan mewujudkan lebih banyak unit rumah mampu milik buat rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mencapai hasrat pentadbiran negeri untuk membangunkan 200,000 unit kediaman mampu milik, seperti digariskan dalam Tawaran Kita Selangor.

Ditubuhkan pada 2021, beliau menjelaskan keputusan menubuhkan syarikat tersebut ketika itu bagi menggerakkan sektor hartanah seiring hala tuju Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pelancaran penjenamaan identiti korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya inginkan KHSB dapat memainkan peranan dalam mewujudkan lebih banyak unit rumah mampu milik.

“Ini bagi merealisasi matlamat menjadikan Selangor berdaya huni yang bukan hanya menepati keperluan generasi muda, tetapi kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas,” katanya hari ini.

Berucap sempena pelancaran penjenamaan identiti korporat KHSB di sini, Amirudin berkata pembangunan rumah perlu menerapkan ciri kelestarian seperti penyediaan lampu jalan solar.

Turut ditekankan, jelasnya, penuaian hujan, tapak kebun komuniti dan penanaman semula pokok bagi menyahut seruan menjadikan Selangor peneraju bagi memelihara alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi bawah Menteri Besar Selangor atau MBI juga bertanggungjawab memperkukuh pengurusan kewangan supaya mampu bersaing dengan peneraju hartanah lain.

“Peluang ini akan menjadi medan untuk menyampaikan identiti jenama korporat KHSB yang proaktif dan bernilai tinggi sejajar visi dan misi mahu dicapai,” katanya lagi.

 


Pengarang :