Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Salwana Ahmad Dahlan ketika mengumumkan keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2023 di Bangunan Jais Shah Alam pada 14 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais lakukan penambahbaikan bantu lonjak peratus lulus PSRA akan datang

SHAH ALAM, 14 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan meneliti beberapa perkara yang perlu ditambah baik bagi melonjakkan semula pencapaian peratus kelulusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada masa akan datang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais Anas Ayob berkata aspek yang akan diteliti membabitkan latihan terhadap guru, penguasaan pelajar dan kurikulum, sekali gus mengurangkan bilangan calon memperoleh pangkat Musaadah (perlu bimbingan).

“Bagi kita (pangkat) Musaadah bukanlah gagal tetapi mereka perlu bimbingan tertentu untuk mata pelajaran tertentu. Kemungkinan mereka sangkut (kurang mahir) mata pelajaran Imlak yang berkait rapat dengan kemahiran penulisan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Anas Ayob bercakap kepada media selepas majlis pengumuman keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2023 di Shah Alam pada 14 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita kesan perkara ini (pelajar lemah mata pelajaran Imlak) dari awal memandangkan kebanyakan pelajar ketika pandemik Covid-19, mereka masih di tahun dua atau tiga. Jadi mereka kurang buat aktiviti dan latihan penulisan.

“Berdasarkan keputusan ini, kita akan lihat kepada tiga aspek berkenaan bagi membantu meningkatkan penguasaan pelajar,” katanya ditemui selepas pengumuman keputusan PSRA 2023 di sini hari ini.

Seramai 6,689 daripada 43,127 calon memperoleh pangkat Mumtaz atau cemerlang, Jayyid Jiddan (sangat baik) pula 14,223 orang manakala Jayyid (baik) 10,096.

Calon memperoleh pangkat Maqbul (lulus) pula meningkat kepada 7,638 berbanding 6,839 yang dicatatkan tahun sebelumnya manakala Musaadah (perlu bimbingan) seramai 4,950.

Pencapaian peratusan lulus keseluruhan PSRA pula mencatat 88.5 peratus, menurun 0.46 peratus berbanding 88.96 peratus pada 2022.

Dalam pada itu, Anas mengakui penurunan peratusan lulus turut didorong dampak pandemik pada 2020 yang membataskan pembelajaran murid secara fizikal sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita nampak saki-baki kesan daripada Covid-19 dengan pelajar bergantung sepenuhnya kaedah pembelajaran secara dalam talian yang menimbulkan masalah buat mereka. Kadang-kadang melibatkan peranti atau jaringan Internet,” katanya lagi.


Pengarang :