Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kediaman Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi menjalankan siasatan pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis: Dua kanak-kanak dakwa lihat Zayn Rayyan sebelum hilang

PETALING JAYA, 14 DIS: Polis mengesan dua kanak-kanak yang mendakwa melihat Zayn Rayyan Abdul Matiin berada di tingkat dua dan tiga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, pada 5 Dis lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia hasil saringan beramai-ramai melibatkan penduduk di apartment berkenaan.

Beliau berkata polis telah memanggil 86 individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu, selain mengambil 10 lagi sampel asid deoksiribonukleik (DNA), menjadikan keseluruhan 238 sampel DNA setakat ini.

Mengulas mengenai penemuan sehelai stoking dalam kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi Zayn Rayyan ditemukan semalam, Hussein berkata ia bukan milik mangsa.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati dua kenderaan pasukan forensik polis berada di lokasi sejak 9.45 pagi bagi meneruskan siasatan kes yang masuk hari kelapan hari ini.

Kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

-BERNAMA


Pengarang :