Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peserta Program Jelajah Tekad Pendidikan #KitaSelangor bersama pelajar SPM dan STPM 2023 di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 6 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jelajah pendidikan negeri tingkatkan motivasi pelajar SPM, STPM

GOMBAK, 6 DIS: Kerajaan Negeri menganjurkan program Jelajah Tekad Pendidikan #KitaSelangor bermula hari ini untuk membantu pelajar yang bakal menduduki dua peperiksaan utama awal tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata program motivasi yang menekankan unsur spiritual dan keagamaan dikhaskan buat pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Diadakan di Gombak (hari ini) dan Kuala Selangor pada 12 Disember, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program kendalian Yayasan Selangor melibatkan lebih 1,000 pelajar serta ibu bapa.

“Setakat ini program diadakan di dua daerah, namun jika maklum balas baik, kita akan lanjutkan ke kawasan lain. Kekangan kita ialah waktu penganjuran kerana terikat dengan masa persekolahan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Program Jelajah Tekad Pendidikan #KitaSelangor bersama pelajar SPM dan STPM 2023 di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 6 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita akan selaraskan dan bincang dengan pihak tertentu untuk anjurkan program pada malam atau selepas sesi persekolahan. Ini membolehkan lebih ramai ibu bapa terlibat sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di sini hari ini.

Amirudin berkata program itu diisi pelbagai acara ketuhanan antaranya munajat, berzikir, solat hajat selain ceramah motivasi pakar bagi menambah keyakinan pelajar berdepan peperiksaan besar.

Jelasnya lagi, inisiatif berkenaan juga seiring pelaksanaan beberapa program pendidikan lain dalam usaha memacu perubahan pendidikan negeri dari peringkat awal hingga tertinggi.

“Program hari ini peluang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam meningkatkan semangat pelajar serta mendekatkan diri dan memperdalam hubungan spritual dengan Allah SWT,” katanya.


Pengarang :