EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah berucap ketika Majlis penutup Kejohanan MPKL-SYA Perahu Layar Terbuka ke-9 2023 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kejohanan perahu layar MPKL jana ekonomi, promosi Pantai Batu Laut

KUALA LANGAT, 25 DIS: Penganjuran Kejohanan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL)-SYA Perahu Layar Terbuka 2023 di Pantai Batu Laut membantu menjana pendapatan penduduk setempat.

Wakil rakyat Tanjong Sepat berkata pertandingan dengan kerjasama Persatuan Sukan Layar Selangor mempromosi Pantai Batu Laut sehingga menarik kedatangan pelancong asing.

“Kawasan di Pantai Batu Laut ini adalah tarikan pelancong dan dengan usaha MPKL mengadakan kejohanan seperti ini pengunjung makin bertambah ramai apabila peserta datang bersama keluarga mereka termasuk dari luar negara duduk dalam khemah untuk menyaksikan kejohanan.

“Medan selera makan juga dilihat sentiasa penuh sepanjang kejohanan yang memberi ruang peniaga tempatan jana pendapatan.

“Saya berharap MPKL, pengerusi perwakilan penduduk, jabatan dan agensi di daerah ini akan terus menjadikan Pantai Batu Laut dan daerah Kuala Langat ini sebagai venue untuk penganjuran kejohanan seperti ini,” kata Borhan Aman Shah.

EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah bergambar bersama ketika Majlis penutup Kejohanan MPKL-SYA Perahu Layar Terbuka ke-9 2023 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas majlis penutup kejohanan berkenaan di Pantai Batu Laut, Kuala Langat di sini semalam.

Borhan yang juga EXCO kebudayaan memaklumkan objektif utama kejohanan adalah menyediakan platform bakat muda mengasah kemahiran dalam sukan perahu layar.

“Melalui platform penyertaan di venue yang berbeza ini akan dapat memberikan pendedahan dan persediaan untuk melahirkan pelayar-pelayar yang berpotensi hingga disegani di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Seramai 80 atlet dalam dan luar negara menyertai kejohanan tersebut pada 22 hingga 24 Disember.

Memasuki edisi kesembilan, 11 kategori dipertanding iaitu kelas Optimist, ILCA, International 420, RS One dan Techno 293 yang disertai 10 peserta berumur 8 hingga 20 tahun.


Pengarang :