Marsha Milan Londoh bersama ahli keluarganya. Foto Instagram MarshaMilan
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Marsha ambil kesempatan luang masa bersama keluarga di Hari Natal

Oleh Intan Syuhada Akhir

Meski berbeza agama, kasih sayang antara penyanyi Marsha Milan dengan keluarganya yang beragama Kristian tetap erat.

Walau melafaz syahadah dan bernikah dengan suami Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail sembilan tahun lalu, Marsha tetap meraikan Hari Natal.

Setiap tahun, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh, 38, bercuti untuk pulang ke kampung halaman di Tamparuli, Sabah untuk menyambut Krismas.

Bersyukur hubungan persaudaraan tidak putus kerana pilihan agamanya, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia itu menepis tanggapan segelintir pihak bahawa tidak boleh menyambut perayaan agama lain kerana sudah Islam.

“Saya pernah bertanya kepada ustaz mengenai hukum perayaan. Nasihatnya sentiasa memasang niat yang baik dalam menjaga hubungan silaturahim dengan keluarga.

“Jadi, Hari Natal mahupun Aidilfitri adalah perayaan yang saya nantikan kerana itulah masanya saya pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya pada 13 Disember.

Menyifatkan keluarganya berfikiran terbuka, suami Marsha juga tidak pernah kekok dan mudah menyesuaikan diri untuk meraikan Krismas bersama-sama.

Pelantun lagu Kembali Terang itu pulang ke kampung pada 23 Disember dan meluahkan rasa tidak sabar untuk berkumpul bersama ahli keluarga.

Padanya, itulah saat menyeronokkan kerana dapat bertanya khabar dan bertukar cerita dengan saudara-mara selepas lama tidak bersua.

Foto Instagram MarshaMilan

Beli hadiah

Bercerita mengenai keraian Hari Natal keluarganya, anak kedua daripada tiga beradik itu bersederhana menyambutnya.

Namun istimewanya, setiap tahun adik-beradik Marsha akan membuat kek pelbagai perisa, kemahiran yang diwarisi daripada ibu, Missie, 69.

“Setiap tahun kami akan buat kek bersama-sama tak kiralah perisa coklat ataupun lobak merah. Masing-masing ada selera berbeza.

“Mak saya memang ada buat perniagaan kek perkahwinan atau ulang tahun kelahiran di kampung. Jadi, kek memang menu wajib kami,” katanya.

Selain kek, keluarga Marsha turut memilih menu nasi berlauk untuk dihidangkan kepada saudara-mara dan tetamu yang bertandang ke rumah mereka.

Untuk sambutan Krismas tahun ini, pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu (AJL) 2021 itu sudah membeli sejumlah hadiah untuk diberi kepada setiap ahli keluarganya.

Malah, Marsha sudah berpakat dengan kakaknya untuk menyembunyikan hadiah berkenaan agar tidak diketahui ahli keluarga lain.

Bercerita mengenai kerjaya, pada 17 Disember Marsha diumum mara ke pentas akhir AJL 38 menerusi lagu Darah.

Lagu ciptaan Naim Daniel dan Firdaus Rahmat itu akan bersaing meraih gelaran juara bersama 11 lagu lain di Stadium Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 3 Mac, tahun hadapan.

Meski gementar kerana lagu itu bukan genre yang selalu dipersembahkan, beliau tetap bersemangat kerana mahu mengetengahkan karya terbaik demi mengangkat mutu industri muzik negara.

Marsha tidak meletakkan harapan menang dalam anugerah itu, sebaliknya hanya ingin memberi persembahan terbaik pada pentas akhir sebagai menghargai sokongan peminat.
Pada AJL 2022, Marsha meraih tempat kedua dan kategori persembahan terbaik.


Pengarang :