Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square, Penampang, Sabah pada 7 Disember 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Kerajaan tumpu noktah miskin tegar, selaras gaji penjawat awam tahun depan

PENAMPANG, 7 DIS: Kerajaan Perpaduan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan hal ehwal rakyat termasuk menoktahkan kemiskinan, menyelesaikan isu sekolah daif dan menyelaraskan gaji penjawat awam di seluruh negara, tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemusatan tumpuan kepada aspek itu adalah amat penting bagi memastikan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dapat menikmati hidup yang lebih selesa.

Beliau berkata kemiskinan adalah antara isu asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu memandangkan masih ramai rakyat dibelenggu masalah itu dan termasuk dalam kategori miskin tegar.

“Alhamdulillah, sampai bulan Disember, kita hampir menyelesaikan masalah ini. Miskin masih ramai, tapi saya maksudkan miskin tegar. Kita selesaikan kerana muafakat dan kerjasama antara kementerian, pegawai di semua peringkat, kerajaan negeri, daerah dan mukim,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square di sini, hari ini.

Bertemakan “Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi MADANI”, karnival itu dianjurkan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di negara ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Anwar juga berkata beliau mahu ibu negara Kuala Lumpur dikenali dengan warung, gerai dan restoran bersih sebagai mercu tanda, tidak hanya bangunan pencakar langit atau hotel lima bintang semata-mata.

Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI pimpinannya turut memberi tumpuan kepada keindahan landskap taman di setiap bandar, selain mengekalkan nilai bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka bagi menjadikan ia sebagai kota warisan.

“Ini penting bagi terus mempertahan nilai sejarah dalam setiap projek raksasa yang ingin dijalankan, selain memastikan pelan pembangunan dirangka dengan baik demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :