Jenazah kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada 7 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah Zayn Rayyan selamat dikebumikan

PETALING JAYA, 7 DIS: Jenazah kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara di sini malam hari ini.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan yang dihadiri oleh ibu bapa, keluarga terdekat dan kenalan rapat kanak-kanak itu.

Menantu kepada pengasuh Zayn Rayyan, Zaiton Abd Aziz, 54, dilihat tidak dapat menahan sebak apabila melihat jenazah kanak-kanak berusia enam tahun itu dikebumikan.

“Ketika ibunya ambil Zayn Rayyan dari sekolah, mereka selalunya akan singgah bermain buaian selama 10 minit berdekatan rumahnya.

“Pada hari kejadian, dia macam nak main lebih lama tapi pada masa yang sama, maknya mengejar masa sebab nak kembali ke pejabat,” katanya kepada Bernama.

Selepas Zayn Rayyan dilaporkan hilang tengah hari Selasa di Damansara Damai, kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di dalam anak sungai berhampiran kawasan rumahnya pada kira-kira 10 malam tadi.

Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kematian kanak-kanak itu dan keterangan ibu bapa mangsa akan diambil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Beliau berkata hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kecederaan di leher serta badan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

–BERNAMA


Pengarang :