Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kompaun lebih RM1.2 juta dikeluarkan atas kesalahan merokok November lalu

PUTRAJAYA, 15 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,041 kompaun bernilai RM1.25 juta sepanjang November lalu atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan 7,772 notis kesalahan dikeluarkan dari 20,976 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 3,685 kompaun bernilai RM1.84 juta juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

Dr Muhammad Radzi berkata 282 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan pada masa sama 75 kes disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM96,850.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, Dr Muhammad Radzi berkata 4,751 premis makanan diperiksa pada bulan lalu dan 154 premis makanan dikenakan perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :