PETALING JAYA, 24 DIS: Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an membawa penonton menggamit kembali kenangan indah dan kegemilangan muzik tanah air.
EXCO kebudayaan berkata konsert yang bertema ‘Cinta Lahir Kembali’ juga merupakan usaha menghargai dan menghayati nilai-nilai seni buat generasi baharu khususnya.
“Ia juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada artis-artis hebat yang telah mewarnai muzik tanah air pada zaman keemasan itu.
“Rentak Selangor menjadi platform unik yang menghargai warisan seni dan budaya kita dengan menggalakkan pengunjung menyertai tema retro, memakai pakaian era 70-an,” kata Borhan Aman Shah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konsert Rentak Selangor di Dewan Auditorium MBPJ, di sini malam tadi.
Borhan memaklumkan Rentak Selangor yang dianjurkan secara tahunan merupakan platform untuk mempromosikan dan mewarisi keindahan seni serta budaya.
“Saya yakin Rentak Selangor Nostalgia Lagu-Lagu 70-an ini akan memberikan dampak positif kepada industri seni negeri Selangor dan tanah air.
“Ia sekali gus memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara pusat seni dan kebudayaan,” katanya.
Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an menampilkan persembahan artis popular 1970-an seperti Datuk Hail Amir, A Razak Ismail, Junainah M Amin, Datin Effa Rizan dan J Mizan.
Selain itu, pelbagai acara menarik diadakan antaranya pertandingan peragaan Pakaian Tema Retro 70an, pertandingan nyanyian Lagu-Lagu Pilihan 70-an, pameran Nostalgia 70an dan jualan makanan.