Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor pada 2 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kota Damansara, Sungai Ramal antara empat lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 29 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah diteruskan ke empat lagi lokasi esok.

Bermula 10 pagi, jualan berlangsung di Pangsapuri Cempaka Blok 6 (Kota Damansara), Tapak Futsal Kompleks PKNS Bangi (Sungai Ramal), Dewan Komuniti Taman Permai (Semenyih) dan Pukal Padi Tali Air 1 (Sungai Burong).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Terbaharu, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR)  menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :