ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan SUK pada 10 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kurang risiko banjir, JPS Klang tambah pam, bina kunci air baharu

SHAH ALAM, 7 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah pam di pintu kunci air Sungai Pinang, Pelabuhan Klang sebagai langkah pencegahan banjir di Kampung Tradisi Pulau Indah.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata JPS dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd juga memecahkan ban sementara bagi pembinaan kunci air baharu di perkampungan Orang Asli.

Azmizam Zaman Huri juga menjelaskan kontraktor ditugaskan mengorek dan mendalamkan sungai di muara bagi melancarkan aliran air daripada sistem perparitan kampung ke laut.

“Ini antara usaha bagi mengurangkan risiko banjir di Kampung Tradisi Pulau Indah rentetan hujan lebat malam tadi yang turun selama tiga jam hingga menghasilkan taburan hujan sebanyak 105 milimeter.

“Saya berterima kasih kepada JPS dan JPS Klang kerana berusaha bersama pejabat saya untuk mengatasi masalah banjir ini, termasuk Majlis Perbandaran Klang yang memantau sistem perparitan serta longkang di kawasan Pulau Indah,” katanya menerusi video di TikTok.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri memantau keadaan terkini banjir kilat yang berlaku di Kampung Tradisi Pulau Indah pada 18 Januari 2023. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Dalam pada itu, Azmizam menasihati penduduk Pelabuhan Klang khususnya Kampung Tradisi Pulau Indah supaya berwaspada dengan kemungkinan banjir susulan ramalan hujan lebat setiap hari.

“Saya berharap penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati kerana hujan lebat dijangka turun setiap hari serta kemungkinan untuk banjir itu ada.

“Langkah diambil JPS adalah untuk cuba mengatasi masalah banjir, tetapi semua orang kena bekerjasama untuk berwaspada. Sama-sama kita berdoa supaya dijauhkan daripada bencana banjir,” katanya.


Pengarang :