Gambar hiasan perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Lelaki direman tujuh hari bantu siasatan kes mayat wanita disimen dalam kolah

KLANG, 5 DIS: Lelaki warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen dalam kolah air di sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, Pandamaran, dekat sini, kelmarin.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas permohonan dikemukakan polis di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 53 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.47 pagi dengan diiringi anggota polis.

Tempoh reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.

Mayat wanita itu ditemui selepas anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan simen kolah air sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

Polis setakat ini menahan seorang lelaki dan sedang mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan.

 


Pengarang :