AGENDANASIONAL

Luruan monsun diramal di selatan semenanjung, utara Sabah mulai Ahad

SHAH ALAM, 15 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun berlaku di selatan semenanjung dan utara Sabah bermula Ahad ini.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan yang berlaku sehingga 23 Disember itu berpotensi membawa hujan berterusan dalam tempoh berkenaan.

“Pada masa yang sama, penumpuan angin juga dijangka berlaku di utara dan tengah Sarawak sehingga Ahad yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Muhammad Helmi berkata pihaknya mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan Pahang, Johor dan Sabah berkuat kuasa 18 sehingga 19 Disember ini.

Beliau menambah amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan kepada tiga negeri terbabit bermula Ahad hingga 23 Disember ini.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.


Pengarang :