PBTSELANGOR

MBPJ lulus geran komuniti RM2.44 juta dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 15 DIS: Sebanyak RM2.44 juta diperuntuk bagi pemberian geran komuniti PJ Seed dalam tempoh lima tahun bagi membantu pemegang taruh melaksanakan projek untuk meningkatkan prestasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut sekretariat media unit komunikasi korporatnya, geran komuniti bawah Pelan Tindakan Petaling Jaya Pintar, Berdaya Tahan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR 2030) membabitkan 138 permohonan yang diluluskan sejak 2019.

“Geran ini terbuka kepada semua pemegang taruh seperti persatuan penduduk, sekolah, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada di dalam atau luar Petaling Jaya.

“(Ia membolehkan pemegang taruh) mengemukakan projek atau idea yang dapat membantu meningkatkan prestasi MBPJ berdasarkan pelan PJSSR 2030,” katanya dalam kenyataan.

Untuk tahun ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan sebanyak RM542,682.39 diperuntuk membabitkan 25 permohonan yang diluluskan, dengan 12 daripadanya projek kebun komuniti bawah tema bandar rendah karbon.

Tambahnya, kelulusan lain termasuk enam projek pendidikan dan pembelajaran bawah tema bandar pembelajaran, ekonomi kitaran (tiga projek), bandar berdaya tahan dan selamat (dua projek) manakala bandar raya ekonomi serta masyarakat masing-masing satu projek.

“Diharap projek diluluskan dapat membantu meningkatkan prestasi MBPJ untuk menjadi PBT cemerlang di Malaysia serta membantu mencapai matlamat pembangunan mampan 2030 (SDG2030) di peringkat antarabangsa.

“Semoga projek dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan dan penduduk Petaling Jaya secara amnya menerima manfaat daripadanya,” katanya.


Pengarang :