Lokasi cadangan membina rumah pam di Jalan Saksama 25/39 serta kerja infrastruktur di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam untuk Majlis Bandaraya Shah Alam pada majlis Pecah Tanah Projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA belanja lebih RM40 juta laksana empat projek tebatan banjir 

SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan empat projek tebatan banjir dengan kos keseluruhan berjumlah RM41 juta, kata Pemangku Datuk Bandar Cheremi Tarman.
Projek dilaksanakan sejak Disember tahun lalu itu meliputi membaik pulih dan membina longkang, parit, rumah pam, kolam takungan yang dilaksanakan secara berperingkat.
Antara kawasan terlibat adalah di Seksyen 13, Taman Sri Muda, Seksyen U1 dan Seksyen 7 yang juga merupakan lokasi kerap berlaku banjir.
“Projek itu dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2022 hingga sekarang dan proses tawaran juga dibuat secara tender terbuka.
“Insya-Allah, kita jangka projek fizikal siap April tahun hadapan manakala kajian perunding dibuat sehingga awal 2025,” katanya selepas mesyuarat penuh MBSA semalam.
Menurut Cheremi MBSA masih meneruskan kerja penyelenggaraan dan pemantauan selama 24 jam oleh pihak Command Centre Integrasi Sistem Pemantauan Pintar Shah Alam (IRIS).
“Jawatankuasa bencana juga ditubuhkan dan akan terus digerakkan sekiranya berlaku kecemasan dimana-mana kawasan di Shah Alam,” katanya.
Awal Disember tahun lalu, MBSA memperkenal Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang akan dilaksana secara jangka pendek dan berfasa bagi mengurangkan risiko bencana itu berulang.
EXCO Infrastruktur Izham Hashim berkata MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negara ini yang melaksanakan pelan bersepadu projek tebatan banjir.

Pengarang :