Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim (tiga, kanan) melancarkan Manual prosedur penyempurnaan waran tangkap dan pelaksanaan kuasa tangkapan tanpa waran bawah Undang-undang Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Ibu Pejabat MBSJ pada 13 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ lancar manual prosedur penyempurnaan waran tangkap, pastikan tindakan telus

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 14 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan manual prosedur penyempurnaan waran tangkap dan pelaksanaan kuasa tangkapan tanpa waran.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata penerbitan manual itu membuktikan MBSJ mempunyai kaedah penguatkuasaan berkesan dan menyeluruh.

“Manual ini juga berfungsi sebagai garis panduan kepada semua pegawai dan kakitangan MBSJ dalam melaksanakan tindakan penangkapan dengan lebih berkesan, telus dan berintegriti.

“Ia juga selaras dengan Pelan Strategik MBSJ 2020-2025 iaitu teras enam untuk membentuk sebuah masyarakat yang madani,” katanya pada majlis pelancaran buku manual berkenaan di Ibu Pejabat MBSJ di sini semalam.

Mohd Fauzi menjelaskan antara garis panduan yang dikeluarkan termasuklah hak asasi orang disyaki bersalah atau ditangkap, hak pegawai MBSJ mempertahankan diri daripada ancaman pesalah.

“Saya berharap pegawai waran dan pegawai penyiasat MBSJ memahami hak asasi mereka untuk bertindak apabila berdepan dengan cabaran,” katanya.


Pengarang :