Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar (empat dari kanan) bersama penerima Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 Siri 2 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri agih RM178,000 bantu lima sekolah naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 13 DIS: Sejumlah RM178,000 disalur menerusi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 Siri 2 kepada lima sekolah bagi menyediakan persekitaran kondusif kepada pelajar.

Timbalan setiausaha kerajaan (pembangunan) berkata bantuan melibatkan keseluruhan 993 sekolah tahun ini dapat dimanfaatkan bagi membaik pulih kemudahan termasuk dewan, tandas, bumbung dan siling.

Jelas Dato’ Johary Anuar, RM50,000 diagih kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang, SK 2 Petaling Jaya (RM48,000), SK Desa Pinggiran Putra (RM40,000) manakala SK Seksyen 27 (2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena (RM20,000).

“Jumlah keseluruhan peruntukan (bagi program ini) untuk tahun ini adalah RM26.5 juta sekali gus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pelajar dan sekolah.

“Diharap program bantuan berkaitan infrastruktur ini dapat memberi manfaat kepada semua yang terlibat dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Johary menyempurnakan majlis penyerahan program tersebut di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Guru Besar SK 2 Petaling Jaya, Rohanim Shahari

Sementara itu, Guru Besar SK 2 Petaling Jaya, Rohanim Shahari berkata bantuan itu akan dimanfaat untuk menaik taraf pendawaian elektrik di sekolah yang sudah berusia 69 tahun itu.

“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana kelulusan yang sangat pantas mengambil masa hanya hanya sebulan selepas kami buat permohonanan,” katanya.

Guru Besar SK Labohan Dagang, Mhd Sazali Jailani

Guru Besar SK Labohan Dagang, Mhd Sazali Jailani pula berkata bantuan berkenaan akan digunakan untuk pembinaan dewan terbuka yang bakal memanfaatkan 750 pelajar sekolah berkenaan.

“Sumbangan daripada Kerajaan Negeri ini amat kami hargai. Anggaran kos pembinaan dewan itu adalah RM300,000 dan kita sedang usahakan sumbangan daripada pihak lain juga,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bernilai RM26.5 juta diagih institusi pendidikan pelbagai aliran termasuk sekolah kebangsaan di Selangor sepanjang tahun ini yang tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

Inisiatif yang dimulakan sejak 2009 itu bertujuan menyediakan persekitaran selesa kepada guru dan murid.


Pengarang :