AGENDANASIONAL

Pelajar hilang sejak Khamis ditemukan di masjid dalam keadaan lemah

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Seorang pelajar berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Jalan Yaacob Latif, Cheras di sini Khamis lepas, ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata mangsa Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi dijumpai oleh ibu bapa bersama guru sekolahnya di masjid berkenaan berdasarkan maklumat orang awam.

“Ketika ditemukan, pelajar itu berada dalam keadaan letih, namun ada yang memberinya makanan (semasa tempoh hilang). Selain itu, tiada kecederaan fizikal kelihatan pada tubuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zam Halim berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu pihak polis sehingga mangsa berjaya dijumpai selepas maklumat berhubung kehilangan pelajar itu disiarkan media semalam.

– BERNAMA


Pengarang :