Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM teruskan SOP Covid-19 di PPS untuk kekang penularan ketika banjir

SEGAMAT, 9 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan tatacara operasi piawai (SOP) di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir bagi mengekang penularan Covid-19.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata ia berikutan adanya peningkatan kes ketika ini, namun jumlah itu terkawal dan masih belum pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata kakitangan KKM di PPS juga telah maklum mengenai SOP sedia ada termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk terjejas banjir terutama yang mempunyai gejala.

“Dalam keadaan banjir memang kita bersedia, menyediakan kit untuk testing Covid-19. Seperti biasa, kalau ada kes begitu kita akan buat isolasi dan kita asingkan, SOP tetap sama, insya-Allah.

“Buat masa ini, peningkatan kes ketika ini hanya melibatkan kes-kes kecil dan gejala ringan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai SOP yang perlu dipatuhi terutama di lokasi banjir bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian selapas merasmikan Felda Medoi Agrofest 2023, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan Program Saringan Kesihatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Medoi, di sini, hari ini

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata pada minggu EPID-47 terdapat pertambahan kes Covid-19 sehingga 3,626 kes berbanding 2,305 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak PEDi di seluruh negara dapat melaksanakan program saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) khusus untuk penduduk.

“Pemeriksaan kesihatan penduduk melibatkan bacaan BMI, tekanan darah, kencing manis dan kolestrol itu penting bagi memperkasakan penjagaan kendiri dan kesedaran awal dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Di Parlimen Sekijang sahaja, beliau berkata seramai 321 penduduk telah mendapatkan saringan kesihatan di empat PEDi bermula 5 Disember hingga semalam.

– BERNAMA


Pengarang :