Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa membeli barangan asas pada harga murah di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cempakasari pada 17 Disember 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk beratur seawal 7.30 pagi mahu beli barangan asas murah

KLANG, 17 DIS: Lebih 100 ekor ayam terjual dalam tempoh satu jam pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cempakasari di sini, hari ini.

Pegawai Penyelaras Parlimen Kapar Nasya Azwin Misnan berkata penduduk mula beratur seawal jam 7.30 pagi meski kaunter dibuka jam 8.30 pagi.

“Penduduk tidak kisah perlu menunggu kerana mereka mahu mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah. Setakat ini, dalam tempoh sejam lebih 100 ekor ayam terjual, tidak termasuk ayam potong.

“Selain enam barangan keperluan asas, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga membawa barangan lain seperti sos, biskut dan sotong untuk penduduk.

Laili Alang

“Ini sebahagian daripada usaha mempromosi barangan keluaran PKPS yang kini digemari penduduk,” katanya ditemui pada program tersebut.

Sementara itu, pengunjung warga emas, Laili Alang,64, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk ke jualan murah membeli keperluan dapur seperti ayam, ikan dan beras.

“Jualan ini amat bagus dan membantu khususnya golongan kurang berkemampuan. Contohnya saya dan suami tidak bekerja, hanya bergantung pemberian anak, sudah pasti jualan ini meringankan beban.

“Hari ini saya berpeluang beli biskut jagung daripada PKPS kerana kawan-kawan cakap sedap, jadi mahu mencubanya. Saya harap jualan ini dapat diteruskan lagi demi membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Muhammad Zaki Mat Nazir,31, berkata kehadirannya ke jualan murah itu adalah kali pertama dan menyifatkan program tersebut sangat bermanfaat kepada rakyat.

Muhammad Zaki Mat Nazir

“Sebelum ini, saya tidak dapat hadir kerana masa tidak sesuai pada hari bekerja. Apabila ada peluang hari ini, saya datang bersama isteri agak awal bagi mengelak menunggu terlalu lama.

“Secara keseluruhan saya beli pada harga RM102 tetapi jika di pasaran luar mungkin lebih dan mencecah RM150. Bagi saya jualan ini sangat bagus dan wajar diteruskan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di lebih 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

 


Pengarang :