Pengunjung membeli barangan dapur pada harga berpatutan di Jualan Agro Madani sempena hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengunjung berbelanja kredit eMadani di program setahun bersama kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Bantuan kredit eMadani sebanyak RM100 yang diterima baru-baru ini digunakan pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membeli makanan dan barangan dapur.

Tinjauan mendapati, pengunjung memanfaatkan kredit berkenaan untuk membuat pembelian tanpa tunai dengan menggunakan aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet atau MAE Maybank.

Pengunjung dari Kajang, Muhd Alif Mohd Azrul, 22, berkata dia menebus sumbangan eMadani itu semalam dan menggunakannya untuk membeli pelbagai makanan di khemah jualan usahawan di sini.

“eMadani membantu saya berbelanja tanpa perlu keluarkan wang tunai, saya hanya perlu imbas kod QR menerusi MAE di gerai jualan peniaga,” katanya di sini hari ini.

Masih berbaki RM60, Muhd Alif akan memanfaatkannya sebaik mungkin untuk meninjau pusat jualan usahawan dan mendapatkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dipesan ibunya.

Pengunjung dari Wangsa Maju, Siti Fatimah Ismail, 49, berkata inisiatif bantuan kredit itu membantu suri rumah sepertinya berbelanja barangan keperluan dapur di Jualan Mega Madani.

“Saya beli kombo Madani mengandungi tepung gandum, telur ayam dan sayur-sayuran selain serbuk pencuci pakaian, tisu dapur dan pelbagai barangan lain yang ditawarkan,” katanya yang memanfaatkan kesemua kredit eMadani di sini.

Sementara itu, peniaga Norazlin Sahat, 49, berkata ramai pengunjung terutama dari Lembah Klang yang hadir ke gerai jualannya membuat bayaran secara dalam talian sejak tiga hari program berlangsung bermula kelmarin.

“Saya mengalu-alukan pelanggan menggunakan urus niaga tanpa tunai kerana lebih mudah dan cepat, tidak perlu menyediakan wang tunai untuk memberi baki kepada pembeli,” katanya yang menjual kebab daging dan ayam.

– BERNAMA


Pengarang :