AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS dipilih pemaju rumah mampu milik terbaik Asia pada Anugerah PropertyGuru

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dipilih sebagai Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik (Asia) dengan Eastern and Oriental Bhd, Eupe Corp Bhd dan Sime Darby Property Bhd merangkul anugerah serantau pada majlis Finale Akhir Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru ke-18.

Pemenang daripada 13 pasaran hartanah di seluruh Asia bersaing untuk mendapatkan markah kecemerlangan tertinggi dalam pembangunan, pembinaan, seni bina dan reka bentuk hartanah pada peringkat akhir majlis itu yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga, kiri) bergambar bersama trofi yang diterima PKNS atas anugerah sebagai Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik (Asia) pada Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru ke-18 di Bangkok Thailand baru-baru ini. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

Kumpulan PropertyGuru dalam satu kenyataan berkata lebih daripada 50 anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan kepada pemaju terbaik di rantau ini dan projek mereka.

GuocoLand memenangi anugerah Pemaju Terbaik (Asia) bagi kali ketiga dalam sejarah anugerah tersebut, satu daripada lima kemenangan bagi pemaju dari Singapura.

Sementara itu, pemaju dari Indonesia meraih lapan kemenangan serantau, dengan PT Sinar Mitbana Mas memenangi anugerah Pemaju Perintisan Terbaik (Asia) manakala syarikat induk Sinar Mas Land dan anak syarikat PT BSD Diamond Development turut memenangi anugerah serantau.

Pemaju dari Filipina merangkul tujuh kemenangan serantau dengan Aboitiz InfraCapital Economic Estates meraih anugerah utama iaitu Pemaju Perindustrian Terbaik (Asia) dan Pembangunan Perindustrian Terbaik (Asia).

Manakala pemaju dari Vietnam meraih enam kemenangan serantau, diterajui SonKim Land Corporation. Syarikat itu memenangi kedua-dua anugerah Pemaju Hartanah Mewah Terbaik (Asia) dan Pembangunan Kegunaan Bercampur Butik Terbaik (Asia).

Andaman Asset Solution memenangi anugerah Pemaju Butik Terbaik (Asia), satu daripada enam anugerah serantau yang dimenangi pemaju dari Thailand.

Salvo terpilih sebagai Pemaju Gaya Hidup Terbaik (Asia), satu daripada lima anugerah serantau yang dimenangi pemaju dari Australia.

Sementara itu, pada majlis tersebut juga salah seorang daripada personaliti paling ikonik dalam industri hartanah Hong Kong iaitu pengasas dan pengerusi Lan Kwai Fong Group Allan Zeman menerima Anugerah Ikon.

Ketua pengarah eksekutif PropertyGuru Group Hari V. Krishnan berkata acara tahun ini merupakan sambutan bagi menghargai perancang perubahan yang menyumbang kepada hala tuju pembangunan bandar pada masa hadapan.

“Dari ibu kota yang dinamik hinggalah kepada metropolis yang luas dan perbandaran yang dirancang dengan baik, masa depan bandar-bandar di Asia berada di tangan pemaju yang berkebolehan ini, membuka jalan bagi industri yang lebih mampan, saksama dan inovatif di negara masing-masing,” katanya

Pengurus besar PropertyGuru Asia Property Awards and Events Jules Kay berkata tempat terbaik untuk tinggal dan bekerja di Asia telah menjadi contoh kualiti terbaik, yang menekankan bahawa rantau ini kekal fokus pada meningkatkan standard pembangunan, menilai semula reka bentuk dan menggiatkan semula ekonomi

Pemaju Terbaik (Asia):

  • GuocoLand – Singapura (Pemenang Serantau)
  • Apex Property – Greater Niseko
  • New World China – China
  • OCIC Group – Kemboja
  • Robinsons Land – Filipina
  • Sinar Mas Land – Indonesia
  • Sino Land Company Limited – China – Hong Kong dan Macau

Pemaju Hartanah Mewah (Asia):

  • SonKim Land Corporation – Vietnam (Pemenang Serantau)

Pemaju Perindustrian Terbaik (Asia):

  • Aboitiz InfraCapital Economic Estates – Filipina (Pemenang Serantau)

Pemaju Kegunaan Bercampur Terbaik (Asia):

  • Frasers Property Singapore – Singapura (Pemenang Serantau)
  • Federal Land, Inc. – Filipina
  • MontAzure – Thailand

Pemaju Gaya Hidup Terbaik (Asia):

  • Salvo – Australia (Pemenang Serantau)
  • Habitat Group Co Ltd – Thailand
  • Hoi Hup Realty Pte Ltd – Singapura
  • PT. BSD Diamond Development – Indonesia
  • RLC Residences – Filipina

Pemaju Komersial Terbaik (Asia):

  • Keppel Vietnam – Vietnam (Pemenang Serantau)
  • Paramount Land – Indonesia
  • TE Capital Partners and LaSalle Investment Management – Singapura

Pemaju Hospitaliti Terbaik (Asia):

  • UOL Group Limited and Pan Pacific Hotels Group – Singapura (Pemenang Serantau)
  • Agung Sedayu Group – Indonesia

Pemaju Kemampanan Terbaik (Asia):

  • UOL Group Limited – Singapura (Pemenang Serantau)

Pemaju Butik Terbaik (Asia):

  • Andaman Asset Solution – Thailand (Pemenang Serantau)
  • CSI Properties Limited – China – Hong Kong dan Macau
  • Skyland Group – Australia

Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik (Asia):

  • Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) – Malaysia (Pemenang Serantau)

Pemaju Perintisan Terbaik (Asia):

  • PT Sinar Mitbana Mas – Indonesia (Pemenang Serantau)
  • Da Vinci Land – Singapura

– BERNAMA


Pengarang :