EXCO Pembangunan Keusahawanan Najwan Halimi menunjukkan minuman yang dibeli menggunakan imbasan kod QR Platform Selangor (PLATS) ketika meninjau program PLATS Masuk Pasar di pasar malam Setia Taipan, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PLATS diperluas ke bazar Ramadan seluruh negeri tahun depan

SHAH ALAM, 8 DIS: Kempen Platform Selangor (PLATS) akan diperluas ke bazar Ramadan seluruh negeri tahun depan bagi mendukung inisiatif pendigitalan, kata EXCO pemberdayaan usahawan.

Najwan Halimi menjelaskan insiatif berkenaan juga bakal meneruskan penggunaan Kupon Rahmah PLATS digital yang akan diedar kepada orang awam menerusi kod respon pantas (QR).

“Kempen ini lebih kepada untuk memberikan pendedahan kepada usahawan supaya mereka lebih rasa bermotivasi selain menggalakkan penggunaan bayaran dalam talian.

EXCO Pembangunan Keusahawanan Najwan Halimi mengimbas kod QR Platform Selangor (PLATS) untuk menebus RM5 yang diberi percuma ketika meninjau program PLATS Masuk Pasar di pasar malam Setia Taipan, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Untuk tahun depan kita akan kenal pasti bazar Ramadan di seluruh negeri, berbanding sebelum ini hanya dilaksanakan di Shah Alam dan Subang Jaya sahaja,” katanya kepada pemberita.

Petang semalam, beliau meninjau pelaksanaan Kempen PLATS Masuk Pasar dan pengedaran 2,000 kupon digital bernilai RM5 kepada pengunjung di pasar malam Setia Taipan di sini.

Turut hadir Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ahmad Azri Zainal Nor dan pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Ir Cheremi Tarman.

Dalam pada itu, Najwan berkata sebanyak 9,000 kupon digital diedar kepada orang ramai membabitkan nilai RM45,000 sejak Kempen PLATS Masuk Pasar dilaksanakan bulan lalu.

“Setakat ini syukur kerana ia mendapat sambutan baik daripada peniaga dan pembeli. Kita harap ia dapat diteruskan bagi memastikan inisiatif ini bermanfaat kepada semua,” katanya lagi.

Kempen PLATS Masuk Pasar diadakan selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dan sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 akan diedar kepada pengunjung.

PLATS yang diperkenal susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) tiga tahun lalu membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.


Pengarang :