Tugu Peringatan Negeri Selangor yang terletak bersebelahan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pokok bunga tanjung saksi 45 tahun kepesatan Shah Alam

Genap 45 tahun tegap rimbun sebatang pohon tanjung menyaksikan kepesatan Shah Alam sebagai ibu negeri baharu. Pokok saka ini ditanam pada istiadat meletak batu asas Tugu Peringatan Negeri Selangor.

Nama sainsnya Mimusops elengi, pokok tanjung tersebut ditanam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 7 Disember 1978, pada hari Baginda berkenan mengisytiharkan ibu negeri.

Dibina sempena memperingati pengorbanan pahlawan Selangor, langit-langit puncak tugu setinggi 120 kaki itu turut dihiasi motif kelopak lapan bunga tanjung (foto 1).

Foto 1

Pusat pentadbiran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang kini tersergam indah belum siap dibina. Di kiri anak tangga ke tugu tersebut, di sebelah kiri jalan menuju pintu utama bangunan, pokok ini masih teguh berdiri saat ini.

Bunga tanjung, walau kecil tetapi semerbak harum, dekat di hati Sultan Salahuddin, sultan Selangor kelapan. Baginda pernah memiliki cawan bercorak bunga tanjung yang kini dipamer di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang.

Keindahan kuntumnya dirakam dalam lagu Bunga Tanjung nyanyian biduanita negara (Allahyarham) Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar pada 1972. Lagu ini dibuka dengan lirik: “Bunga tanjung putih berseri. Kembang jelita harum baunya. Gagah sungguh pohonmu berdiri. Tegap rimbun gagah perkasa.”

Dek daya tariknya, akhir 1958, Kementerian Pertanian mencadangkan bunga tanjung sebagai satu daripada tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga lain termasuklah kenanga, melur, cempaka dan teratai.

Walau akhirnya bunga raya diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, bunga berkelopak lapan ini terus kekal sebagai bunga Selangor seperti sejak puluhan tahun dahulu.

Pada 1905, bunga tersebut menjadi motif utama hiasan dinding Istana Jugra, Kuala Langat, yang dibina Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, sultan Selangor kelima. Dari pintu gerbang hingga ke pintu masuk utama, semuanya bermotif bunga tanjung (foto 2).

Foto 2

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menjelaskan pokok ini yang banyak ditanam juga lambang menghargai tetamu.

Rawatan tradisi

“Jika diperhatikan bunga tanjung di Selangor memang banyak,” kata Penolong Kurator Intan Hazna Abdullah kepada Selangorkini pada 9 November.

Sebagai pokok hiasan taman, pokok tanjung kerap ditemui di kawasan sekitar Masjid Negeri, sekolah dan bangunan pentadbiran. “Bunga itu sebenarnya bermaksud lambang alu-aluan kepada tetamu,” kata Intan Hazna lagi.

Ribuan bunga kecil kuning pucat, bersaiz 1.2cm, mekar dalam kelopak mahkota berbilang lapan muncul dari celah ketiak daun (foto 3). Ia kembang menjelang senja dan harum sepanjang malam. Pokoknya boleh tumbuh setinggi 15 meter.

Foto 3

Bunganya kerap digunakan masyarakat Melayu pada zaman dahulu sebagai pewangi rambut. Kulit kayunya dijadikan rawatan tradisi untuk demam, cirit-birit dan jerawat. Daunnya dikatakan mujarab untuk mengatasi sakit kepala.

Dalam perubatan tradisi di Indonesia, daunnya diperasap untuk mengubati lelah, manakala kulit diguna untuk merawat gatal dan radang sendi. Perahan bunga pula dikatakan boleh merawat sakit jantung.

Kerajaan Negeri memohon hak cipta corak bunga tanjung pada awal 2016. Sehingga penghujung tahun berkenaan, bunga itu dipaten harta intelek Selangor sebagai fabrik tekat motif bunga tanjung.

Pada tahun itu, Selangor menghasilkan tekat gubah bunga tanjung yang terpanjang. Sembilan meter panjang dengan tiga kali lebar, sulamannya menggunakan benang emas yang diikat dengan sutera merah.

Rekod ini dimuatkan dalam Malaysia Book of Records. Digerakkan PADAT, ia dibantu Persatuan Pakar Pembuatan Kraf dan Sulam Tangan Kuala Lumpur dan Selangor.

Usaha memartabat bunga ini diteruskan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Pada Ogos lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mewarta bunga tanjung sebagai bunga rasmi negeri.

Kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menggayakan baju batik pada Majlis Pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2020. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Motif bunga sembilan kelopak digunakan dalam Batik Selangor (foto atas) yang dilancarkan pada Disember 2022. Batik bercorak ini dibenarkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurut Intan Hazna, yang mengkaji sejarah bunga berkenaan dalam Kesultanan Selangor, bunga itu dipanggil bunga tanjung kelopak sembilan sebagai lambang sembilan daerah.

DNS turut mengabadikan sembilan kuntum bunga berkelopak sembilan sebagai lambangnya. “Lambang kemegahan negeri, hebatnya daerah-daerah yang menjadi tunjang kepada negeri,” katanya.

Kulit buku Sejarah Selangor, terjemahan karya sejarahwan terkenal JM Gullick, turut mengangkat motif bunga kelopak sembilan (foto 4).

Dibiayai Kerajaan Negeri, buku ini diterbitkan bawah Siri Pencerahan Selangor.


Pengarang :