AGENDANASIONAL

Polis mohon bantuan kesan budak autisme hilang sejak semalam

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata Zayn Rayyan Abdul Matiin kali terakhir berada di rumah beralamat Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 tengah hari.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata polis menerima laporan kehilangannya pada 6.36 petang semalam.

“Kanak-kanak lelaki berkenaan (kali terakhir) dilihat memakai baju kemeja-T putih berkolar berlencana SK Damansara Damai 2, berseluar sukan hitam dan kasut sekolah hitam,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.

-BERNAMA


Pengarang :