Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan melihat persembahan oleh anggota pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika hadir pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program setahun bersama kerajaan Madani dapat sambutan, kaunter PDRM jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini mendapat sambutan menggalakkan.

Pelbagai kaum dan peringkat umur hadir memeriahkan majlis tanpa menghirau cuaca panas serta kesesakan lalu lintas.

Kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus jadi tumpuan pengunjung bagi mendapatkan pengurangan bayaran denda.

Sempena penutupan hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluang masa menyertai program soal jawab bersama orang awam di pentas utama.

Program yang diadakan sejak Jumaat lalu bertujuan mendekatkan rakyat dengan kerajaan selain membolehkan mereka melihat sendiri kad laporan pentadbiran bagi tempoh setahun.

Program turut bertujuan menyebar luas dan mempromosi dasar serta inisiatif baharu yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 November 2022.

Program yang menyasarkan 200,000 pengunjung itu turut menampilkan beberapa menteri dalam sesi sembang santai, antaranya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Sepanjang penganjuran, program turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk karnival kerjaya yang mendapat kerjasama 63 agensi kerajaan dan swasta, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Honda Malaysia Sdn Bhd.

Pengunjung juga boleh melawat 36 reruai yang menyediakan lebih 102 kaunter perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.


Pengarang :