Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Mohamad Zahri Samingon berucap ketika Majlis Sambutan Bulan Keselamatan Jalan Raya peringkat Selangor di Bangunan SUK pada 20 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Setahun Kerajaan Madani: Selangor buka reruai kongsi pencapaian pentadbiran

SHAH ALAM, 20 DIS: Kerajaan Negeri akan membuka reruai memaparkan pencapaian Kerajaan Perpaduan pada sambutan Setahun Bersama Kerajaan Madani peringkat negeri, Januari depan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan program berjalan lancar.

“Sambutan ini melibatkan banyak agensi yang mana kita akan buka reruai memaparkan pencapaian Kerajaan Madani sepanjang setahun pentadbiran.

“Selangor sebagai negeri pertama sambutan bagi peringkat negeri akan beri kerjasama bagi memastikan semuanya berjalan lancar,”katanya.

Terdahulu beliau merasmikan majlis sambutan bulan keselamatan jalan raya peringkat di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri pelbagai kaum dan peringkat umur.

Sambutan itu dianjurkan bertujuan mendekatkan rakyat dengan kerajaan selain membolehkan mereka melihat sendiri kad laporan pentadbiran bagi tempoh setahun.

Selain itu, program itu turut menyebar luas dan mempromosi dasar serta inisiatif baharu yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 November 2022.


Pengarang :