Wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz mendengar taklimat daripada pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengenai jentera menghadapi bencana ketika majlis pelancaran Kampung Siaga 221 anjuran APM Selangor di Taman Sri Nanding pada 19 November 2023. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
ADNSELANGOR

Siap siaga depani bah, wakil rakyat pastikan aset dalam keadaan baik

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 6 DIS: Wakil rakyat Dusun Tua bersiap siaga dengan keanggotaan dan aset pelbagai agensi bagi menghadapi kemungkinan bah susulan musim tengkujuh mulai bulan ini hingga awal tahun depan.

Menurut Datuk Johan Abdul Aziz, persediaan termasuk jentera aset daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bot penduduk yang berada dalam keadaan baik untuk digerakkan jika berlaku bencana.

“Saya sudah memantau segala persiapan yang dilakukan APM termasuk persiapan anggota dan jentera aset yang disediakan bagi menghadapi sebarang bencana.

“Kita juga memastikan dua pusat pemindahan sementara iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai SK Dusun Tua sentiasa dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengenal pasti 390 lokasi berisiko banjir dengan Hulu Langat mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 78 diikuti Klang (65).

Agensi itu turut memaklumkan 51 kawasan berisiko bah termasuk di Kuala Selangor, Petaling (44), Gombak (33), Kuala Langat (30), Sabak Bernam (20) dan Hulu Selangor (15).

Pada 4 November, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya membuat persediaan awal di semua peringkat bagi mengurangkan dampak kehilangan nyawa dan harta akibat banjir.

 


Pengarang :