Foto Facebook Piala Dato’ Mokhtar Dahari
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SMK Shah Alam juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 15 tahun

PETALING JAYA, 5 DIS: Reputasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam selaku juara bertahan bagi Piala Dato’ Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) sukar digugat apabila berjaya menundukkan SMK Meru 3-0 pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini malam ini.

SMK Shah Alam tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan leret ayam tambatan Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny meletakkan mereka di depan pada minit kedua disusuli rembatan kencang di luar kotak penalti oleh Muhammad Danish Harith Muhd Zakri menggandakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Bersambung babak kedua, gol tandukan Hazif Hakim Noorfaezal pada minit ke-49, hasil sepakan penjuru Khalish Fakrey Mohd Razilan, melengkapkan malam gemilang mereka sekali gus memastikan mahkota kejuaraan kekal milik SMK Shah Alam selama dua tahun berturut-turut.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, jurulatih Mohamad Shahrul Hisham Khasim ternyata berpuas hati melihat skuad bimbingannya menang selesa tanpa membiarkan gawang mereka dibolosi lawan.

Beliau turut mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada warga SMK Shah Alam atas sokongan dan dorongan yang diberikan selama ini.

Kejayaan itu menyaksikan SMK Shah Alam membawa pulang trofi dan wang tunai RM7,000 manakala SMK Meru menerima wang tunai RM5,000.

SMK Darul Ehsan muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan apabila menewaskan SMK Sultan Abdul Samad 2-0 petang tadi.

— BERNAMA


Pengarang :