Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis pelancaran Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid serta Surau Selangor 2023 di Istana Alam Shah, Klang pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan titah masjid, surau sedia penyata kewangan untuk semakan

KLANG, 7 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan masjid dan surau seluruh negeri menyediakan Penyata Kewangan Tahunan Beraudit untuk disemak.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Majlis Agama Islam Selangor perlu memastikan institusi terbabit menyediakan penyata berkenaan supaya pengurusannya melalui tatakelola yang betul.

“Pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” titah Baginda dalam kenyataan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis pelancaran Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid serta Surau Selangor 2023 di Istana Alam Shah, Klang pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum itu, Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Majlis pelancaran di Istana Alam Shah di sini turut disertai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam pada itu, Baginda menegaskan pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset menyebabkan masyarakat kurang yakin kredibiliti serta integriti pentadbiran mereka.

“Beta yakin, masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan baik akan lebih diyakini dan akan mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan dan infaq mereka,” titah Baginda.


Pengarang :