Orang ramai melihat koleksi buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tawar diskaun menarik, karya terjemahan IBDE laris di pesta buku negeri

SHAH ALAM, 5 DIS: Perempuan Seribu Satu Malam, buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) antara naskhah yang menjadi pilihan pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Pegawai Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood berkata lebih 50 buku terjual hanya dalam tempoh empat hari pesta buku berlangsung bermula Jumaat hingga semalam.

Pegawai Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood menunjukkan buku terbitan IBDE di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Menurutnya, buku yang mempunyai 252 halaman itu berkisar empat kisah terkenal daripada hikayat Seribu Satu Malam iaitu Aladin dan Pelita Ajaib; Judar dan Abang-abangnya; Abukir dan Abusir dan Tukang Emas Berahi.

“Rata-rata pengunjung sangat teruja melihat buku Perempuan Seribu Satu Malam. Bukan sahaja kerana kisahnya yang terkenal boleh dibaca dalam bahasa Malaysia tetapi disegarkan lagi dengan konsep ilustrasi kulit bukunya.

“Mereka yang berminat boleh dapatkan buku ini serendah RM60 di reruai IBDE. Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik koleksi buku popular IBDE,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Sementara itu, Eksekutif Jualan Penerbitan Nukilan Biruni Yaya Javier berkata tahun ini adalah penyertaan kali kedua dalam SIBF yang menjadi platform untuk mengembangkan naskhah berunsurkan puisi dan prosa.

Eksekutif Jualan Penerbitan Nukilan Biruni Yaya Javier. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Menurutnya, Penerbitan Nukilan Biruni mula ditubuhkan pada 2019 oleh individu yang cintakan seni dan dunia pembacaan iaitu Mustaqim Jiwa dan Aishah Manan.

“Buku yang kami terbitkan rata-ratanya berunsurkan puisi dan prosa, non-fiksi dan novel dari Indonesia dengan sasaran pembaca adalah daripada golongan individu berusia 18 hingga 30 tahun,” katanya.

Berkongsi jualan buku dalam tempoh empat hari penyertaan dalam SIBF 2023, Yaya berkata lebih 2,000 buku pelbagai judul dan 500 tote beg berjaya dijual.

Antara buku yang menjadi rebutan pembeli adalah Teruntuk Langit Yang Bercanda; Tulus Untuk Orang Yang Salah; Tulisan dan Ikhlas Paling Serius.

SIBF 2023 berlangsung mulai 1 hingga 10 Disember di Pusat Konvensyen MBSA, dari 9 pagi hingga 9 malam.

Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu adalah kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Pengunjung melihat koleksi buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKIN

Pengarang :