DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencemar duli ke perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada 2 Disember 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDASUKANKINI

Tengku Amir zahir rasa bangga Selangor FC layak ke Liga AFC

SHAH ALAM, 3 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menzahirkan rasa bangga terhadap Selangor FC yang layak ke kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim depan.

Tengku Amir Shah bertitah kemenangan itu merupakan bukti usaha keras setiap pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan khususnya bagi memastikan mereka layak beraksi di pentas Asia.

“Namun kejayaan ini tidak akan menghentikan sesekali perjuangan Selangor kerana Selangor FC masih perlu bekerja keras di mana karakter itu sentiasa dituntut bagi memastikan perkembangan mereka tidak berhenti dan sentiasa bergerak ke hadapan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan tidak terkira kepada semua barisan pemain, barisan jurulatih serta pihak pengurusan atas kejayaan yang membanggakan ini,” titah Baginda kepada Flash Sukan yang turut dikongsi di Facebook Selangor Royal Office.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencemar duli ke perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada 2 Disember 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Tengku Amir bertitah kemenangan tersebut juga merupakan permulaan baru kepada Selangor FC tahun depan selain turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong pasukan itu.

“Ini adalah permulaan baharu buat Selangor FC biar pun saya menyedari pelbagai cabaran yang bakal menghambat akan datang selepas mengesahkan slot ke pentas Asia 2024.

“Terima kasih kepada semua pihak khususnya penyokong Selangor FC yang selama ini setia memberikan sokongan kepada kelab ini dan harapan saya mahu kelab ini akan terus sukses di masa akan datang,” titah Baginda.

Selangor FC menewaskan Kedah 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam, sekali gus muncul naib juara Liga Super dan menempah tiket ke saingan Liga AFC musim depan.

Lebih istimewa, Tengku Amir yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut mencemar duli ke perlawanan tersebut bersama rombongan menaiki bas khas dari Shah Alam.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Gergasi Merah membuat penampilan di kejohanan elit peringkat Asia adalah pada aksi Piala AFC 2016.


Pengarang :